ZIARAH DI KOTA MADINAH, IBRAH BUAT JEMAAH HAJI

May 25, 2023/0/0
Home / Blog / Berita / ZIARAH DI KOTA MADINAH, IBRAH BUAT JEMAAH HAJI

Saudara Irfan Zulkifli, pelajar Universiti Madinah tahun 4, Jurusan Bahasa Arab berkongsi kisah Syuhada Uhud dengan penuh bersemangat


Oleh Norhayati binti Paradi, Penyampai Radio IKIM

 

MADINAH, 25 Mei (IKIM) – Berada di Madinah kurang lengkap jika tidak diisertakan dengan aktiviti ziarah di sekitar kawasan kotanya. Oleh itu, TH mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan Ziarah Luar buat para Jemaah sepanjang mereka berada di Madinah.

Antara lokasi ziarah sekitar kota Madinah Al-Munawwarah adalah Masjid Quba, Uhud berserta kisah Syuhada Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh di tapak peperangan Khandaq dan tidak dilupakan ziarah ladang kurma buat Jemaah membawa ole-ole untuk keluarga di tanahair.

Pembimbing Haji Tanah Suci mengaturkan sebanyak 28 buah bas dengan dibantu oleh 24 orang Mutawif atau Muzawwir yang merupakan pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah dan  Bahasa Arab di Universiti Madinah.

Muzawwir adalah pasukan yang digunakan untuk membantu pelaksanaan aktiviti ziarah jemaah haji Malaysia yang telah disusun oleh TH. Muzawwir akan diperuntukkan bagi setiap bas jemaah haji Malaysia yang digunakan untuk aktiviti ziarah. Muzawwir berperanan menerangkan sejarah Madinah dan tempat-tempat yang dilawati seperti Masjid Quba’, Jabal dan maqam syuhada’ Uhud, Masjid Qiblatain dan lain-lain.

Bagi musim haji kali ini, dianggarkan seramai 60 orang muzawwir digunakan bagi pelaksanaan aktiviti ziarah luar atau ziarah sekitar Madinah.

Salah seorang Muzawwir, Ukail bin Ahmad Sanif yang merupakan Timbalan Ketua Pelajar Malaysia di Universiti Madinah merangkap penasihat program Dakwah dan Ziarah berkata,” Konsep yang kami bawa adalah dakwah dan ziarah. Kami memang menekankan perkongsian kisah yang benar dan setiap kisah akan ada ‘Ibrah untuk dipelajari oleh para Jemaah”.  

Apa yang pasti setiap inci bumi Madinah punya kisah yang terkandung berjuta ‘ibrah. Semoga Lawatan di negeri yang di asaskan pentadbirannya oleh Rasulullah SAW ini bukan sahaja menyumbang kepada kesuburan buminya malah menyuntik kesuburan rohani juga buat yang melewatinya.

Salah seorang Muzawwir, Ukail bin Ahmad Sanif yang merupakan Timbalan Ketua Pelajar Malaysia di Universiti Madinah merangkap penasihat program Dakwah dan Ziarah sedang ditemuramah oleh DJ Yati.

 

Para jemaah khusyuk mendengar penerangan Muzawwir di perkarangan Masjid Quba’. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “ Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwuduk dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganjarannya adalah satu pahala umrah.”

 

 

Cik Latifah Mohd Rahim, antara Jemaah yang mengambil kesempatan membeli belah di Ladang Kurma Majed di Madinah

Jemaah sedang membeli belah sebagai buah tangan untuk dibawa pulang ke tanah air

Navigation