Home / Blog / Berita / PM RASMI HARI WARTAWAN NASIONAL (HAWANA) 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia semasa berucap dan merasmikan Hari Kemuncak HAWANA 2023
Oleh Hajah Maslina binti Alias, Pengurus Berita Radio IKIM
IPOH, 28 Mei (IKIM) – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, yang menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media serta wakil persatuan dan kelab wartawan Malaysia di Hotel Casuarina, Meru, Ipoh, Perak.
Beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Perak, YAB Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil.
Perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan pelaksanaannya oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Bertemakan “Media Bebas, Tunjang Demokrasi”, sambutan ini bertujuan untuk menghargai sumbangan dan jasa pengamal media dan wartawan veteran tempatan dalam pembangunan negara dan bangsa.
Pada majlis itu, Perdana Menteri menyampaikan hadiah kepada seorang penerima Anugerah HAWANA 2023 dan tiga orang penerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA yang terdiri daripada wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
Majlis itu adalah kemuncak kepada sambutan HAWANA 2023 yang berlangsung dari 27 hingga 29 Mei, dengan pelbagai perancangan diatur untuk fraterniti dan pakar industri media.
Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.
Dari kiri : Puan Hajah Maslina binti Alias (Pengurus Berita Radio), dan Siti Nur Madinah yang mewakili Media IKIM ke Hari Kemuncak HAWANA 2023 yang bertempat di Casuarina Convention Centre, Hotel Casuarina @ MERU,Ipoh
Pentas utama Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2023
Hi-Tea bersama jemputan media di Majlis Kemuncak HAWANA 2023
bergambar bersama Suhaimi Sulaiman, Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia
Radio IKIM merupakan satu-satunya stesen radio berkonsepkan pendekatan Islami yang bersiaran selama 24 jam sehari setiap hari ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Langgan Surat Berita
Adakah anda ingin menerima surat berita kami ? Ingin dapatkan info terkini aktiviti IKIM? Langgan surat berita kami dan sentiasa up-to-date.