Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar. (Surah Asr, 1- 3)
Dalam hidup ini kita ada pelbagai kehendak dan keinginan, sementara setiap kehendak dan kemahuan itu hendaklah diiringi dengan tindakan. Sesuatu keinginan tanpa ada tindakan tidak akan mendatangkan hasil yang akan memberi faedah kepada kita.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi, Ustaz Mohd Meeftah Anuar menekankan bahawa pentingnya bagi setiap umat Islam untuk menanam azam yang tinggi di dalam diri supaya dengan adanya azam dan keinginan yang tinggi akan menghasilkan perbuatan dan tindakan yang akan mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.
Seseorang mukmin yang memiliki azam yang tinggi akan lebih bersemangat dalam melaksanakan ibadah dan perbuatan yang akan menjurus kepada hubungan baik terhadap Allah SWT. Sebagai contoh sentiasa menanam azam untuk bangkit melaksanakan solat sunat pada malam hari, berazam melaksanakan solat sunat Dhuha, membaca al-Quran, berpuasa dan sebagainya. Kehendak dan keinginan dalam ibadah ini hendaklah sentiasa dipasak dalam diri kita agar dapat melahirkan tindakan dan amalan yang akan menjadikan kita insan soleh dan solehah.
Orang-orang soleh sering berpesan kepada manusia lain dan selalu mengajak kepada kebenaran supaya dapat bersama-sama menjadi insan yang diredhai Allah dunia dan akhirat. Sebagaimana yang dikongsikan melalui surah Al-Asr, Allah SWT menjelaskan tentang manusia itu akan berada dalam kerugian jika tidak menggunakan kesempatan hidup atau usia yang dimiliki ini untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT. Bahkan sebagai manusia yang bertaqwa kepadaNya, manusia itu harus sentiasa saling ingat mengingati antara satu sama lain kerana itu adalah sebahagian dari nilai keimanan seseorang manusia.
Menurut Ustaz Meeftah, setiap kebaikan yang dilakukan juga hendaklah berbalas dengan penghargaan seperti ucapan terima kasih dan seumpamanya. Ini adalah sebahagian dari adab yang perlu diamalkan oleh orang-orang Islam yang beramal soleh dan memahami ajaran Islam yang suci.
Hakikatnya dalam kehidupan ini, sebagai manusia yang menjunjung ajaran agama Allah SWT dan mengikuti suri tauladan yang ditunjuk oleh Nabi Muhammad SAW, kita disaran untuk saling menasihati dan mengingati antara satu sama lain. Justeru menggunakan kalimah-kalimah yang baik adalah sebahagian dari nilai dakwah dan seruan yang akan membawa kepada kebaikan.
Rencana ini telah disiarkan dalam segmen Agama akhbar Berita Harian edisi 4 Mei 2016