Home / Blog / Berita / Kos operasi masyair kekal untuk tiga tahun
Mekah, 29 Mei (IKIM) – Kos operasi masyair di Arafah, Muzdalifah dan Mina kekal selama tiga tahun sehingga 2025 selepas Tabung Haji memeterai perjanjian dengan Syarikat Masyariq Holdings bagi meringankan beban jemaah haji Malaysia.
Ketua Rombongan Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, perjanjian itu ditandatangani pada tahun ini bagi mengawal kenaikan kos melibatkan pengangkutan, penginapan dan sajian makanan ketika kemuncak haji.
Bagaimanapun katanya, ia tidak bermakna kos keseluruhan haji akan kekal seperti tahun ini kerana ia melibatkan pelbagai elemen lain seperti hotel, penerbangan, bayaran wajib kepada kerajaan Arab Saudi dan pengangkutan di luar tempoh operasi masyair.
“Ia melibatkan keselesaan di khemah di Rafah dan Mina, kemudahan tandas, kualiti sajian makanan, kelancaran pergerakan bas, waktu melontar dan lain-lain perkhidmatan.
Tambah beliau lagi, “Perjanjian ini membuktikan kerjasama erat antara TH dan syarikat Masyariq yang telah terjalin sejak sekian lama dan bagi melancarkan operasi dan kesejahteraan jemaah haji dari segi kos,”
Terdahulu, beliau hadir pada majlis taaruf rombongan haji Malaysia dengan syarikat berkenaan di sini yang turut dihadiri Pengerusi Kumpulan Masyariq Arab Saudi, Adnan Hussain Mandourah.
Sementara itu, Adnan Hussain berkata, pihaknya berbesar hati untuk berkhidmat kepada Malaysia dan cabaran untuk menguruskan perjalanan haji semakin mencabar setiap tahun.
NORHAYATI PARADI
Melaporkan dari Mekah al-Mukarramah
Ketua Rombongan Haji, Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman bertukar cenderamata bersama Pengerusi Kumpulan Masyariq Arab Saudi, Adnan Hussain Mandourah pada Majis taaruf rombongan haji Malaysia dengan syarikat Muassasah Masyariq.
Radio IKIM merupakan satu-satunya stesen radio berkonsepkan pendekatan Islami yang bersiaran selama 24 jam sehari setiap hari ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Langgan Surat Berita
Adakah anda ingin menerima surat berita kami ? Ingin dapatkan info terkini aktiviti IKIM? Langgan surat berita kami dan sentiasa up-to-date.