54 pesakit berjaya berwukuf dalam program Safari Wukuf 1444H

June 29, 2023/0/0
Home / Blog / Berita / 54 pesakit berjaya berwukuf dalam program Safari Wukuf 1444H

Datu’ Seria Dr Mohd Na’im Mokhtar (kanan) bertanya khabar seorang jemaah haji wanita di pusat rawatan Tabung Haji (TH) di Makkah

MAKKAH, 29 Jun (11 Zulhijjah) (IKIM) – Seramai 54 pesakit berjaya dibawa berwukuf di dalam enam bas khas menerusi program Safari Wukuf manakala tiga daripada 31,600 jemaah haji Malaysia tidak dapat menyempurnakan ibadah wukuf di sebabkan faktor kesihatan pada Selasa lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, tiga jemaah haji berada di hospital Arab Saudi disebabkan koma dan ahli keluarga mereka telah di maklumkan tentang perkara tersebut.

“Dua jemaah haji yang koma disebabkan serangan strok dan seorang lagi akibat radang paru-paru akan terus menerima rawatan di fasiliti kesihatan Arab Saudi sehingga doktor membenarkan mereka pulang ke tanah air”. katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Rawatan TH Makkah di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, jemaah haji Malaysia kini berada di Mina, kira-kira 6 kilometer dari sini untuk melakukan ibadah melontar di tiga jamrah, iaitu fasa terakhir haji.

Dato’ Setia Dr Mohd Naim memberikan kata-kata penghargaan dan kata semangat kepada petugas kesihatan TH yang telah memberikan khidmat yang terbaik kepada Jemaah Haji 1444H

Rakyat Malaysia di nasihat tidak terjebak penipuan badal haji

Sementara itu, Dato’ Setia Dr Mohd Na’im sekali lagi mengingatkan rakyat Malaysia supaya menyemak dengan terperinci individu atau syarikat yang melakukan badal haji bagi mengelak ditipu.

“Isu berkaitan badal haji, penipuan ini dah banyak kali dan kita pun dah banyak kali beri peringatan supaya berhati-hati,” katanya menambah penipuan badal haji terus berlaku saban tahun berkemungkinan disebabkan sifat rakyat Malaysia yang berhati lembut dan senang mempercayai seseorang sehingga mudah tertipu.

Menurutnya, rakyat boleh menggunakan perkhidmatan disediakan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dilesen oleh TH untuk badal haji berbanding syarikat atau individu tanpa lesen yang memungkinkan berlakunya penipuan.

 

 

NORHAYATI PARADI

Makkah untuk Radio IKIM

Navigation